skip to main |
skip to sidebar
Usaha Ezam Mohd Nor untuk menduduki tempat tinggi di dalam Umno belum menemui kejayaan. Walaupun pada awal penyertaannya, beliau memberi pelbagai jaminan kepada BN untuk menjadi pembongkar itu dan ini, namun ianya masih belum diterima untuk membantu Umno.
Beberapa pilihanraya kecil seperti di Terengganu dan Bukit Gantang, beliau hadir dengan sumpahnya untuk mendedahkan 'berita besar' tentang dalaman Anwar. Namun disangka Radix panas hendak dihidangkan, tetapi Ezam sekadar menyajikan kopi O sejuk. Pendengar ceramahnya dikalangan Umno pun tidak berapa suka. Buktinya tidak ramai orang yang pergi mendengar ceramahnya. Tetapi Ezam tidak peduli. Dia bukan lagi pembangkang yang perlukan audien yang ramai ketika ceramah. Tetapi yang penting ialah usaha, kesungguhan dan kerjanya didengari atau diketahui oleh pemimpin besar Umno. Dia perlu membuktikan dirinya benar-benar setia kepada Umno, barulah diberi tempat yang sesuai kepadanya dalam parti.
Namun setelah beberapa kali bersumpah dan menjanjikan berita panas di dalam beberapa pilihanraya, dia hanya diberikan jawatan sebagai ketua penerangan Umno cawangan di Petaling Jaya. Bagi penulis, jawatan ini tidak berbaloi, sebaliknya satu penghinaan kepada beliau yang bernah menjadi diva. Jaguh reformasi dan ketua pemuda PKR Malaysia. Anak buahnya yang dahulu sekadar menjadi setiausaha kerja pemuda Keadilan Lokman Nor Adam kini menapak menang menjadi exco pemuda Umno Malaysia. Nasib beliau lebih baik berbanding Ezam. Jika diingat dahulu, Lokman mendakwa Ezamlah orang yang berusaha meminta parti memecat beliau dari KeAdiLan. Jika hari ini mereka berselisih di pejabat Umno, pasti Ezam tersipu-sipu dengan Lokman.
Selepas menjawat jawatan ketua penerangan Umno cawangan, Ezam tidak berbunyi lagi. Di Manek Urai, kelibatnya sudah tidak wujud. Adakah Ezam sudah puas mendapat jawatan baru itu? Tidak pasti.
Tengah senyap-senyap itu, tiba-tiba keluar muka depan Utusan Malaysia muka Ezam. Katanya, dia sedia menjadi saksi menyatakan Anwar pengkhianat bangsa. Kenyataannya ini bagi menyambut bosnya Muahyudin Yasin yang beberapa hari sebelum itu mendakwa Anwar pengkhianat. Rupa-rupanya Ezam masih belum puas. Dia sentiasa mencari ruang untuk terus me....ngam... pu pimpinan tertinggi parti. Adakah kali ini Ezam berjaya? Adakah dia akan dilantik sekurang-kurangnya sebagai senator atau timbalan menteri? Kita perlu sama-sama nantikan.
namun penulis merasakan beliau akan gagal lagi. kerana hujahnya dan gempaknya masih seperti lama, iaitu membaham bekas bosnya Anwar dengan hujah-hujah kopi O sejuk. Penulis dapat merasakan orang umno pun mengatakan budak Ezam ni habis modal. Bodoh lah dengar cakap dia. terus lah jadi balaci. Mungkin itulah kata-kata orang kepada beliau.
1 Ogos memang benar-benar menjadi referundum rakyat Malaysia terhadap isu ISA. Pelbagai berita dan tanggapan dilemparkan terhadap perhimpunan kelmarin. Utusan melaporkan hanya lima ribu menyertai himpunan ini. Malaysiakini melaporkan 20 ribu, akhbar Serambi Indonesia melaporkan ratusan ribu berhimpun di Kuala Lumpur bagi mendesak ‘dicabut’ akta ISA, Sinar Harian muka depan siarkan 20 ribu sertai demo GMI, muka dalam akhbar yang sama siarkan 15 ribu sertai demo ‘Mansuh’, beberapa media antarabangsa ada yang membuat liputan langsung dan memaparkan sekitar 50 ribu, 70 ribu hinggalah 100 ribu berhimpun mendesak ISA di mansuhkan.
Manakala bagi perhimpunan mendesak ‘dikekalkan’ ISA yang diketuai oleh Pewaris pula amat sukar mendapat beritanya. Ada beberapa akhbar menyiarkan hanya berita pemimpin mereka ke Istana Negara menyerahkan memorundum. Seorang rakan yang melihat sendiri situasi di Pasar Seni mengatakan hanya 20 orang berbaju putih bersongkok hitam penyokong ISA berhimpun di sana. Terdapat akhbar dalam talian yang memaparkan hanya dua ratus berhimpun. Manakala Mstar Online menyatakan dua ribu penyokong ISA berhimpun di Pasar Seni.
Ini bermakna, jika diambil jumlah tertinggi dianggarkan media tempatan dan luar negara, maka ‘Anti ISA’ 100 ribu dan ‘Pro-ISA’ 2 ribu. Jika benar dakwaan ini, maka jumlah mereka yang menyokong ISA hanya mewakili dua peratus sahaja rakyat Malaysia. Jika jumlah ini masih diragui, kita mengambil jumlah terkecil seperti didakwa Utusan Malaysia. ‘Anti ISA’ 5 ribu dan ‘Pro ISA’ 20 orang. Masih lagi yang menyokong ISA hanya mewakili dua peratus sahaja jumlah demonstran.
Untuk lebih adil, penulis mempercayai laporan Mstar Onlin yang mengatakan Pro-Isa diwakili 2 ribu orang. Penulis yang mengikuti kumpulan Masjid Negara sahaja menganggarkan jumlah Kumpulan Masjid Negara ini paling sedikit 10 ribu orang. Berdasarkan gambar yang disiarkan oleh akhbar cina dan Tamil, jumlah di Sogo dua kali ganda jumlah di Masjid Negara. Tidak ada gambar jumlah orang ramai di Masjid Jame diperolehi. Jika jumlah ini sahaja diambil kira, maka jumlah demonstran Anti ISA sekitar 30 ribu orang paling minima.
Maka jika dinisbahkan dengan kumpulan ‘Pro-ISA’ peratus yang menentang ISA ialah 92 peratus dan penyokong ISA hanyalah 8 peratus. Ini jumlah yang paling adil untuk diberikan terhadap keputusan referundum rakyat 1 Ogos kelmarin. Oleh itu kerajaan perlu sedar bahawa kehendak rakyat Malaysia ialah kerajaan segera memansuhkan ISA. Jumlah ini boleh jadi sama atau hampir sama dengan peratus sebenar keseluruhan pengundi yang mahukan ISA dihapuskan. Ini kerana parti-parti Pakatan Rakyat yang mewakili lebih 45 peratus pengundi di Malaysia secara jelas menolak ISA. Manakala parti-parti kompenen Barisan Nasional pula sebahagiannya turut sama menentang ISA. Yang bertindak secara jelas ialah PPP, Gerakan dan MCA. Manakala yang protes secara senyap pula tentulah ramai. Maka tidak mustahil kebenaran 92 peratus rakyat Malaysia menolak ISA berdasarkan himpunan semalam.
Jika tidak segera dimansuhkan ISA ini, maka peratus penentang ISA ini akan diterjemahkan dengan menentang BN dalam pilihanraya ke-13 ini. Oleh itu sebelum terlambat, Najib perlu buangkan keangkuhan dan kedegilan sementara waktu dengan memansuhkan akta zalim ini atau pun bersedia untuk menjadi 8 peratus wakil rakyat ‘pembangkang’ selepas pilihanraya yang akan datang!
Apapun terima kasih kepada kumpulan Pro ISA yang puas memprorovokasi sebelum himpunan di media-media kononnya untuk menghimpunkan puluhan ribu orang Melayu namun ternyata tidak mendapat sokongan. Jasa mereka yang turut sama berhimpun sebenarnya baik sehinggalah terjadinya referundum rakyat 1 Ogos di Kuala Lumpur. Jika BERSIH dan PPSMI kerajaan buat pekak badak kerana katanya hanya sebelah pihak yang menentang. Namun dalam isu ISA kedua-dua pihak sama-sama berhimpun
Ketua Polis Negara menyatakan bahawa pihak polis yang menyembur gas pemedih mata dan meriam air kepada demonstran semalam mengikut Standard Operation Prosuder (SOP) yang ditetapkan oleh undang-undang. Katanya ia sebagai proses pencegahan dan terpaksa menyuraikan mereka yang degil bersurai dalam himpunan ini.
Mari kita lihat satu persatu SOP yang dikatakan Musa Hasan ini. Pertamanya di Masjid Negara sdebelum solat zohor lagi puluhan orang ramai ditangkap. Mereka diperiksa beg satu persatu dan jika ditemui baju atau barang berlambangkan ISA atau berpakaian hitam atau merah terus ditangkap. Atas kesalahan apa mereka ditangkap? SOP!
Keduanya Dr Hatta Ramli yang baru mula untuk berarak di hadapan Masjid Negara dikasari oleh anggota polis sehingga terkoyak 70 peratus bajunya dan langsung tidak boleh dipakai. Ini menunjukkan berlaku kekasaran, kekerasan terhadap Dr Hatta dan beberapa orang yang lain. Tidak ada amaran, tidak ada masa yang diberikan kepada Dr Hatta untuk bersurai. Sebaliknya terus diserbu seperti binatang. Mengapa jadi begini? SOP.
Ketiganya, ketiga demonstaran sampai ke persimpangan jalan Kinabalu berhadapan dengan Bank Rakyat dan Bank Negara, pihak polis telah menembak gas pemedih mata dari empat arah. Manakala FRU berada di keempat-empat persimpangan dan melepaskan gas dan meriam air daripada water canon. Jadi bagaimana orang ramai mahu bersurai. Jika mahu menyuraikan, sepatutnya tempakan hanyalah satu arah dan memberi ruang untuk orang ramai bersurai. Sebaliknya keempat-empat jalan ditutup dan ditembak, kemudian suruh bersurai. Hendak bersurai ke mana? Bengong jadinya. Mengapa jadi begini? Musa Hasan kata SOP Standard Operation Prosedur.
Keempat. Orang ramai yang berada di bangunan Daya Bumi yang melihat sahaja turut ditangkap. Malah ada pegawai polis berpaku tiga menghina mereka yang ditangkap. “Kamu ini tidak padan dengan cacat’. Ada mangsa yang ditendang dan dibelasah sebelum digari. Inikah SOP Polis Malaysia.
Mangsa-mangsa yang ditahan tidak dibenarkan menemui peguam. Ia jelas bercanggah dengan undang-undang. Dan banyak lagi insiden yang berlaku yang bercanggah dengan Standard Operation Prosedur pihak polis. Namun Musa Hasan kata ianya mengikut undang-undang. Empat hari sebelum perhimpunan ini, satu sidang meja bulat diadakan pimpinan Pakatan di Parlimen bagi mendesak kerajaan menukar Ketua Polis Negara ini apabila tamat tempohnya. Belum pernah berlaku dalam sejarah, pemimpin-pemimpin politik terpaksa mengadakan sidang meja bulat khusus bagi membincangkan kelaku seorang ketua polis negara. Ini menunjukkan betapa buruknya rekod Musa Hasan sebagai Ketua Polis Negara dan ianya diketahui oleh dunia luar apabila Sidang Meja Bulat diadakan.
Boleh jadi untuk melepaskan kemarahannya kepada Pakatan Rakyat, Lim Kit Siang mengatakan Musa Hasan membalas dendam dalam himpunan kelmarin. Ditembak gas, dihambat, dikepung, kemudian disuruh bersurai. Memang tidak boleh bersurai. Jadi mengapa dibuat juga begitu.Semata-mata mahu menghukum. Akulah Ketua Polis Negara yang berkuasa!
"Waktu kita tangkap ahli KMM dan JI yang melibatkan orang Melayu, tiada gerakan untuk memansuhkan ISA kerana kita orang Melayu memahami keadaannya. Isu yang hangat sekarang ialah pertubuhan haram Hindraf.. siapa Hindraf ini? Kenapa sekarang orang Melayu nak dijadikan alat oleh orang lain yang nyata mahu ambil kesempatan demi kepentingan politik." Demikian kenyataan Dato Noh Omar Timbalan Pengerusi Umno Selangor.
Saya tidak tahu Dato Noh Omar ini orangnya mudah lupa atau sememangnya buta maklumat atau istilah lunaknya tidak cerdik. Gerakan mansuhkan ISA (GMI) dilancarkan secara rasmi pada tahun 2001 di oleh Dato Fadhil Nor Presiden Pas ketika itu di Dewan Himpunan Cina Selangor. Pengerusi pertamanya Zaid Kamarudin yang hari ini menjadi Presiden JIM. Ia merupakan pakatan rasmi parti-parti politik dan lebih 80 Ngo yang menentang ISA.
Ketika itu berlaku tangkapan terhadap tahanan Reformasi dan kemudiannya berlaku tangkapan terhadap bekas-bekas pelajar lepasan Pakistan India yang dituduh KMM. Pada tahun 2002 pula berlaku tangkapan terhadap JI dan GMI telah pun wujud ketika itu dan melakukan bantahan. Bukan sekadar demonstrasi yang berlaku beberapa siri di Kem Kemunting sehingga berlakunya tangkapan di Kemunting. Antara yang masih ingat ditangkap ketika itu ialah Puan Aliza Jaafar isteri Saari Sungip yang ditahan di hadapan Kem Kemunting. GMI juga telah mengadakan dialog dengan beberapa menteri termasuh Noh Omar sendiri yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri.
Pertemuan GMI dengan Perdana Menteri juga pernah dilakukan dalam satu majlis di Negeri Sembilan bagi menyatakan bantahan terhadap penahanan ISA ini. Malah Noh Omar sendiri pernah menyatakan simpati kepada keluarga tahanan. Sudah tidak terkiran berpuluh demonstrasi di Masjid Negara, di Suhakam dan di Kemunting diadakan bermula tahun 2001 hingga sekarang bagi mendesak dimansuhkan ISA.
Manakala dalam bentuk rundingan telah dibuat bermula dengan pihak polis, Menteri Dalam Negeri dan timbalannya, Perdana Menteri, Suhakam, Suaram, Badan Hak Asasi Islam Antarabangsa dan pelbagai pihak lagi sehinggalah kepada menyuarakan kepada satu konvensyen di Ganeva beberapa minggu yang lalu. Dalam bentuk majlis rasmi pula beratus majlis ceramah, dialog, pidato, seminar diadakan di seluruh negara. Pada tahun 2007 diadakan kempen edaras risalah mansuh ISA di Kolej New Era oleh Tok Guru Nik Aziz yang turut dihadiri oleh Ezam Mohd Nor. Hari ini beliau menempelak pula usaha GMI tersebut.
Sudah berjuta atau beratus juta risalah ISA telah disebarkan. Namun kerajaan masih membisu. Maka demonstrasi besar-besaran 1 Ogos merupakan kemuncak penentangan. Malah jika hendak dikirakan penentangan ini, sebelum wujudnya GMI pada tahun 2001, Pas sebagai Parti Islam yang didokong oleh orang Melayu telah lama melakukan penentangan seperti dalam kes tangkapan ulama Pas pada tahun 70-an, tangkapan Mahfuz, mat Sabu, Bunyamin Yaaqub dan cubaan menangkap Ibrahim Libya pada tahun 80-an. Mengapa Noh Omar kata tidak ada usaha penentangan. Adakah Noh Omar hendak katakan sebelum Hindraf ditahan ISA orang-orang Pas menyokong ISA. Nampak sangat Noh Omar buta sejarah dan pekak maklumat sehingga lupa dia sendiri pernah menerima memorundum penghapusan ISA.
NOh juga mengatakan mengapa hari ini orang Melayu hendak diperalatkan oleh orang lain yang mahu ambil kesempatan. Kesempatan apa yang Noh faham? Adakah kesempatan memberi tanah di Genting Highland, memberi tanah di Bukit Tinggi dan Pangkor kepada Vinsent Tan itu tidak boleh dikatakan alat. Adakah boleh juga dikatakan Noh Omar dan pemimpin-pemimpin Umno itulah sebenarnya alat kepada tauke-tauke dengan menggadaikan tanah-tanah orang Melayu kepada mereka. Noh sering menyatakan bahawa Pas menjadi alat kepada Cina. Boneka Cina. Soalan untuk Noh Omar. Adakah MCA dan MIC itu berbangsa Arab? Adakah Vinsent Tan, Ananda Krisnan itu berbangsa Arab?
Tanpa memanjangkan lagi, penulis ingin katakan Noh Omar itu seorang pelupa dan kerang cerdik dalam mengeluarkan kenyataan. Noh akan rasakan sendiri apabila ISA dikenakan kepada beliau atau anak isterinya barulah dia tahu siapa alat siapa? Kita bukan mendoakan, tetapi selagi akta zalim ini ada ia tidak mengenal siapa dan parti mana. Zahid Hamidi yang masih dalam Umno juga pernah merasa ditahan ISA. Noh perlu berhati-hati.