Penukaran Abdullah kepada Najib sebagai PM tidak menghilangkan perbincangan siapa sebenarnya bakal PM Malaysia. Rakyat umumnya tidak melihat peralihan kuasa ini satu perubahan yang mereka idamkan. Kerana yang ditolak rakyat bukan pimpinan Abdullah sahaja, tetapi rakyat menolak Umno dan BN itu sendiri. Oleh itu penukaran Najib kepada Zahid Hamidi atau Fuad Zarkashi sekali pun sebagai PM baru, ia tidak merubah banyak tanggapan buruk rakyat kepada pemerintah Umno BN.
Oleh itu rakyat melihat kepada Pakatan Rakyat sebagai pengganti kepada kerajaan sedia ada. Mereka perlukan satu tokoh untuk memimpin Malaysia Baru dengan gaya politik baru. Di sebelah pihak Pakatan, mereka mencanangkan bakal kerajaan ini dipimpin oleh orang yang berintegriti, tidak rasuah, amanah, adil dan berkebajikan.
Penulis melihat Tok Guru Nik Aziz memenuhi kesemua kehendak ini. Pertamanya beliau berpengalaman hampir 20 tahun sebagai ketua kerajaan negeri Kelantan. Jika dilihat dikalangan pimpinan Pakatan, beliau lah yang paling lama memerintah dan memegang jawatan utama dalam kerajaan. Dato seri Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana Menteri selama 6 tahun dan sebelumnya menjadi menteri selama 10 tahun. Bermakna jumlahnya hanya 16 tahun.
Keduanya sepanjang 20 tahun menjadi MB terbukti integriti dalam pentadbirannya. Tidak ada sebarang exco, pegawai-pegawai besarnya yang dibuktikan melakukan rasuah. Jika dituduh dan didakwa ramai. Tetapi itu hanya agenda politik parti lawan sahaja. Buktinya tidak ada seorang pun yang dijatuhkan hukuman bersalah. Malah Menteri Besar dilihat orang yang amanah dalam kerjanya. beliau tidak membazir wang kerajaan. Malah wang gajinya sendiri dipotong untuk rakyat. Beliau boleh duduk di kediaman sendiri. walaupun Kelantan tidak semaju Pulau Pinang atau pun Johor, tetapi dalam keadaan menghadapi banyak sekatan kewangan daripada kerajaan pusat, beliau berjaya meletakkan negeri ini lebih maju dari jirannya Pahang dan Terengganu.
Ketiganya soal mampu menyatukan semua kaum dan agama. Kejayaan pihak lain menyatukan berbagai kaum dalam Pakatan bukanlah kerja yang mustahil. Kerana Pakatan itu sendiri dilihat terbuka kepada semua golongan kerana di dalamnya ada DAP dan PKR. Tetapi kejayaan Pas menyatukan berbagai kaum dan agama dalam sebuah Parti Islam yang jelas disebut 'Islamnya' merupakan suatu yang besar. Jadi kemasukan ramai ahli Kelab Penyokong Pas mutakhir ini menggambarkan betapa hebatnya penyatuan yang dibina oleh pimpinan Parti Islam ini khususnya Tok Guru Nik Aziz. Oleh itu tidak ada soal Tok Guru Nik Aziz tidak mampu satukan pelbagai kaum dan agama. Malah terbukti sejak awal pemerintahannya lagi, beliau memberi layanan dan jawatan kepada orang-orang Cina dan India dalam pentadbirannya. Ini baru beberapa tahun sahaja dilancarkan Kelab Penyokong tersebut.
Malah artis-artis juga begitu teruja dengan kepimpinan beliau. Penulis dapat merasakan, jika Tok Guru Nik Aziz berada ditampuk kuasa Pusat, dengan sendirinya ratusan artis yang ada dalam negara kita akan berubah mengikut rentak Islam yang diperjuangkan beliau. Ringgo yang tidak pernah berjumpa dan mendengar ucapan Tok Guru Nik Aziz, menjadi teruja apabila kali pertama mendengar ucapannya sehingga membuatkan dia terus buat keputusan menyertai Pas. Bayangkan jika semua artis, guru, pensyarah, wartawan, penoreh getah, penari, peguam, jurutera, nelayan dan lain-lain bertemu dan mendengar ucapan Nik Aziz, maka kesemuanya akan menyertai atau menyokong perjuangan Pas. Sememangnya NIk Aziz punya aura tersendiri yang turun dari langit hasil tahajutnya yang tidak pernah terhenti.
Oleh itu, saya berpandangan Tok Guru Nik Aziz lah yang paling tepat menjadi Perdana Menteri jika hendakkan keadilan, perpaduan, ketegasan, amanah, integriti, ekonomi yang kukuh dalam negara kita.
0 comments:
Post a Comment