IDEA penubuhan kerajaan Perpaduan yang disuarakan beberapa orang termasuk Tok Guru Haji Hadi dan Tengku Razaligh telah mendatangkan respon berbeza. Kata Tok Guru kerajaan perpaduan ini bagi menangani kemelut ekonomi dan politik yang sangat teruk sekarang ini.
Contoh model kerajaan perpaduan yang disebut ialah kerajaan pimpinan BJ Habibie selepas kejatuhan rejim Suharto. Penulis tidak bermaksud menyatakan persetujuan atau menentang idea ini.
Cuma sekadar hendak mengajak pembaca menganalisis maklumat dan pandangan penulis ini. Pertama sekali kita lihat kerajaan BJ Habibie itu bermula selepas kejatuhan Rejim Suharto. Ketika itu BJ Habibie merupakan timbalan Presiden. Apabila Suharto dijatuhkan, beliau mengambil alih kerajaan dan menggabungkan semua parti dalam kerajaan pimpinannya.
Sepanjang memerintah bersama ini, perkara utama yang kerajaan ini lakukan ialah meroboh sistem lama yang zalim. Contohnya ISA, OSA, AUKU, Akta Mesin Cetak, dan SPR di sana dirombak dan dihapuskan. Media dibebaskan dan tidak tertumpu hanya kepada pemerintah. Setiap Parti dibenarkan menggunakan media secara bebas. Perhimpunan di tempat awam dibenarkan, ceramah, demonstrasi dan lain-lain upacara dibenarkan.
Apabila semua sistem ini diubah maka parti-parti politik baru bercambah berpuluh-puluh. Parti Islam menjelaskan atau menjelmakan kehadiran mereka. Selepas itu kerajaan ini pun dibubarkan dan satu pilihanraya baru diadakan. Apabila berlaku pilihanraya, maka terhentilah kerajaan perpaduan tersebut, maka masing-masing dapat bertanding dengan bebas, berkempen dengan bebas dan adil, SPR yang tidak berat sebelah, perhimpunan rapat umum merata-rata tanpa halangan, tempoh kempen yang lama, pelajar-pelajar universiti turun ke medan tanpa sekatan. Maka berlakulah satu perubahan dalam negara.
Jadi kesimpulannya kerajaan perpaduan itu hanya sementara sahaja sebagai usaha mewujudkan keharmonian dalam politik dan ekonomi negara. Apabila semua stabil maka berpecahlah kembali mengikut perjuangan masing-masing. Bukan bermakna penggabungan tadi menyebabkan semua parti akan berpegang kepada hanya satu ideologi dan selebihnya meninggalkan perjuangan asal masing-masing. Bergabung sekadar untuk menstabilkan negara.
Dalam konteks Malaysia. Kerajaan perpaduan boleh dibina bukan dengan berperdana Menterikan Najib. Boleh sahaja siapa-siapa daripada UMNO atau Pakatan Rakyat dipilih menjadi Perdana Menteri. Ataupun Anwar sendiri jadi Perdana Menteri atau Tengku Razaliegh atau Presiden Pas. Namun yang paling utama siapa tokoh yang mewakili umno itu mampu untuk mendapatkan sokongan 30 ahli parlimen Barisan Nasional dan bergabung dengan 82 ahli parlimen Pakatan Rakyat mengundi salah seorang sebagai Perdana Menteri.
Automatik Najib akan gagal membentuk kerajaan. Sememangnya pun Najib tidak akan bersetuju dengan idea ini kerana kerajaan yang dia bentuk tergugat.
Apabila kerajaan ini dibentuk, langkah pertama ialah merobohkan sistem lama yang zalim. Hapuskan ISA, OSA, AUKU dan lain-lain. Rombak SPRM, SPR supaya benar-benar bebas. Rombak Akta Polis. Berikan kebebasan kepada media. Setiap parti dibenarkan menebitkan akhbar, majalah hariannya. Diberikan permit telivisyen dan radio. Perhimpunan dan rapat umum dibenarkan. Bersihkan pentadbiran kerajaan, polis daripada rasuah. Bersihkan isntitusi polis.
Yang keduanya, pulihkan ekonomi secara bersama. Anwar dengan pengalamannya sebagai menteri kewangan dan punya hubungan antarabangsa. TG Haji Hadi dengan pengetahuannya yang mendalam dalam soal ekonomi Islam yang dibuktikan paling stabil dalam kejatuhan ekonomi hari ini. Tengku Razaliegh dengan pengalamannya seperti Anwar juga sebagai menteri kewangan dan ramai lagi tokoh-tokoh.
Ketiganya lakukan rombakan terhadap SPR. Lantik ahli SPR daripada semua golongan. Letakkan SPR di bawah parlimen bukan Perdana Menteri. Mengundi menggunakan cap jari, pendaftaran pemilih automatik setelah capai usia 21 tahun. Pembuangan nama pengundi mati automatik apabila sudah mati. Penghapusan undi pos yang meragukan dan bermacam lagi. termasuklah tempoh kempen dipanjangkan.
Apabila semua ini sudah berlaku, maka langkah seterusnya bubarkan parlimen dan adakan pilihanraya. Tidak ada lagi gabungan kerajaan perpaduan ini. Masing-masing parti dengan perjuangan masing-masing atau pakatan masing-masing. Bertandinglah secara bebas dan teruskan memperjuangkan ideologi atau dasar parti masing-masing. Maka ia akan menjadikan negara yang lebih aman, demokratik dan adil kepada rakyat.
ADAKAH ADA PARTI YANG DOMINAN?
Jawapannya tidak. Setiap ahli gabungan saling bergantung antara satu sama lain. UMNO 30, Pas 24, PKR 31, Dap 29. masing-masing memerlukan. Jadi tidak ada parti yang dominan. Jadi kesepakatan awal untuk mewujudkan satu sistem politik dan ekonomi yang stabil menjadi tujuan utama. Jadi tidak timbul Pas bergabung dengan UMNO atau PKR menerima dasar Umno atau UMno menerima dasar Pas. Tetapi ia hanya dibentuk oleh orang yang jujur dan ikhlas.
APAKAH BEZA DENGAN PROJEK 16 SEPTEMBER?
Ada yang mengatakan idea ini sama juga dengan projek 16 september yang Anwar ilhamkan. Ya, jawapannya sama, cuma ada sedikit perbezaan. Jika projek 16 september, kita mengharapkan akan ada 30 orang MP BN yang berhijrah ke Pakatan Rakyat dan membentuk satu kerajaan baru untuk merontohkan sistem lama yang zalim. Tetapi usahanya perlu keras dan luar biasa. Untuk bertukar parti dan keluar daripada parti yang memerintah kepada parti yang bakal memerintah (tetapi belum pasti memerintah) merupakan satu risiko. jadi ianya sedikit susah dan terbukti susah dan sedikit gagal. Tetapi bezanya dengan kerajaan perpaduan, tak perlu melompat, tetapi bergabung sementara.
Namun harus diingat, ini hanya pembacaan penulis semata-mata. Penulis tidak bermaksud ini idea yang dilontarkan TG Haji Hadi. Mungkin kerajaan perpaduan yang beliau maksudkan berbeza dengan apa yang penulis maksudkan dan mungkin juga sama. Mungkin juga kerajaan perpaduan yang beliau sebut itu sebenarnya tidak wujud, tetapi hanya satu strategi untuk apa-apa tujuan semata-mata. Apa maknanya jika hanya strategi? Nama pun strategi, tak kan hendak diberitahu orang apakah tujuannya.
Akhirnya penulis mengharapkan semua orang untuk muhasabah dalam bab ini. Hendak kritik boleh, setuju boleh, menentang boleh tetapi dengan adab-adab sebagai ahli jemaah Islam. Jangan sampai menghina dan merosakkan peribadi orang lain.
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni
-
Oleh *HARIS ZALKAPLI*
Persaingan merebut kuasa dan pengaruh dalam dunia Islam, terutama
melibatkan rantau Asia Barat antara Arab Saudi dan sekutu dengan ...
8 years ago
0 comments:
Post a Comment